Wednesday 12 December 2012



PROTON guna enjin F1 PETRONAS tahun depan


Pandu uji Exora guna E01 beri keputusan positif

PROTON Holdings Bhd akan memasarkan keretanya yang menggunakan enjin E01 yang dimajukan PETRONAS bermula Julai tahun depan. 
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, berkata pada masa ini, pandu uji Exora yang menggunakan yang memiliki teknologi dan kemampuan setara dengan enjin kereta terbaik dunia itu sudah dilaksanakan serta menghasilkan keputusan positif.
“Berikutan (hasil pandu uji) itu, PROTON Holdings akan memasang enjin berkenaan pada Exora serta Preve sebagai peringkat permulaan, sebelum dipasang pada model yang baru pada masa depan.

Lebih ringan

“Kami mungkin menggunakan versi enjin turbo 2.0 liter atau 2.2 liter pada model besar berikutan keupayaan enjinnya yang lebih baik, lebih ringan, jimat minyak dan mesra alam.

“Enjin berkenaan juga boleh digunakan bagi menggantikan enjin Toyota yang kini digunakan pada kereta Lotus kerana ia menepati spesifikasi Euro 5,” katanya kepada media selepas majlis pemeteraian perjanjian antara PROTON Holdings dan PETRONAS di Kuala Lumpur. semalam.
Di bawah perjanjian, PROTON Holdings membeli hak intelek enjin E01 itu bersama dengan teknologi dan aset yang berkaitan dengannya pada harga RM63 juta.
“PROTON Holdings dan PETRONAS mula bekerjasama meneroka pembangunan teknologi enjin itu pada 1996. Justeru, sudah tiba masanya untuk kami mengambilalihnya selepas syarikat minyak kebangsaan itu memutuskan untuk menarik diri sepenuhnya dari aktiviti pembangunan enjin pada 2010,” katanya sambil menambah pembelian enjin berkenaan turut membabitkan pengambilalihan tujuh varian teknologi enjin yang mempunyai 117 paten.

Berikutan pembelian itu juga, PROTON Holdings kata Mohd Khamil, kini sudah bersedia menjadi antara pembekal enjin bebas utama dunia, selain menjalin usaha sama dengan syarikat kereta atau pengeluar peralatan tulen (OEM) yang mahu menggunakan enjin berkenaan.

E01, adalah enjin yang dibangunkan hasil pembabitan PETRONAS dalam Formula 1 sejak menjadi penaja utama Pasukan Sauber Petronas pada 1995.

Ia dibangunkan dan direka bentuk sekumpulan 16 jurutera tempatan mengikut piawaian tertinggi dalam arena automotif, menepati teknologi tercanggih agar mudah ditingkatkan sesuai teknologi masa depan.

Thursday 6 December 2012

Turki Model Contoh Negara Islam.. Erdogan



ANKARA: Dengan sambutan yang hebat, Parti Keadilan dan Pembangunan Turki, atau AKP, merasmikan kongres keempatnya di Ankara Ahad lalu. Dalam arena sukan di ibu negara tersebut, di mana permaidani merahnya telah dinamakan semula dengan "Jalan Demokrasi", Recep Tayyip Erdogan, pemimpin AKP dan Perdana Menteri Turki, memberi ucapan kepada puluhan ribu penyokong dan orang kenamaan asing.

Acara ini meraikan kejayaan Turki - satu dekad kejayaan pilihan raya, pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan kuasa serantau yang semakin mampan. Ia adalah kongres terakhir Erdogan sebagai pengerusi AKP, dan rata-rata mempercayai beliau akan bertanding jawatan presiden pada tahun 2014.


Dalam ucapan selama dua jam setengah (gambar), Erdogan berkata era rampasan kuasa tentera telah berlalu dan Turki merupakan model untuk dicontohi oleh negara-negara Islam yang lain.

Namun Turki telah menangani beberapa isu. Beberapa hari lalu, tiga jeneral tertinggi telah disabitkan kesalahan menjadi dalang untuk menggulingkan kerajaan. Lebih daripada 300 pegawai tentera Turki turut terlibat.

Dan Turki telah lama berperang dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang telah meningkatkan serangan beberapa bulan kebelakangan ini dalam usaha mewujudkan sebuah negara Kurdish yang berasingan. Turki juga menghadapi potensi ancaman dari Syria. Selain beban ekonominya sendiri, kem-kem pelarian di Turki kini menempatkan kira-kira 80,000 orang dari Syria.

Dengan AKP bersedia dengan rombakan besar-besaran, kita bertanya: Apakah perubahan yang akan kita lihat? Di manakah Turki selepas satu dekad di bawah kepimpinan yang sama? Dan apakah cabaran yang mendatang untuk parti tersebut?

"Sebelum kami memerintah pada tahun 2002, tiada kestabilan ekonomi, tiada keselamatan, tiada demokrasi di negara ini.

"Kami telah bersendirian dalam perjuangan kami menentang keganasan, dalam proses pendemokrasian.

"Kami berazam untuk menyelesaikan isu Kurdis walaupun wujudnya provokasi dan kempen melawan kerajaan.

"Isu Kurdish tidak boleh diselesaikan oleh mereka yang memilih berbaik-baik dengan pengganas, tetapi oleh mereka yang memilih berbaik-baik dengan rakyat.

"Kami mengambil alih lebih daripada $23.5 bilion hutang negara. Sehingga kini jumlah tersebut berkurangan kepada $1.3bn dan kita akan mengurangkan ia kepada sifar pada bulan April," kata Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki. (Hrkh)